Showing posts with label Generasi Kedua Felda. Show all posts
Showing posts with label Generasi Kedua Felda. Show all posts

Wednesday, July 4, 2012

Kerja baru

Lama benar rasanya tak jenguk blog ni. Andai la ianya sebidang tanah, mungkin sudah ditumbuhi lalang atau pokok balek angin. Andai ia sebuah rumah, sudah tentu ada yang masuk tumpang tidur! Ha, Jinn atau manusia di alam khayalan. Yang mana satu?..

Semenjak-dua menjak ni saya begitu sibuk dengan urusan kerja. Tambahan pulak sekarang ni diberi tugas untuk menulis draf perlembagaan Pertubuhan yang akan di tubuhkan di Jengka 13 ini. Pertubuhan ini ditubuhkan bertujuan untuk mengumpul Anak-anak muda Generasi ke 2 Felda di Jengka 13 ini yang mempunyai cita-cita untuk melihat pembangunan di kampung sendiri. Sebelum ini Persatuan yang ada di sini hanyalah Pertubuhan Belia yang bernaung dibawah Majlis Belia Felda. Namun tidak banyak usaha yang dilakukan oleh Pertubuhan ini disebabkan oleh perkara-perkara yang tertentu. Saya tidak mahu menyentuh lebih lanjut apa permasalahan Persatuan Belia di sini. Biarlah Pengerusi dan SU Belia serta AJK mereka mengatasinya.

Apabila tertubuhnya Pertubuhan ini dapatah kiranya kami membawa masuk peluang-peluang yang telah disediakan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri ataupun dari Agensi-agensi lain bagi membimbing atau memberi peluang kepada anak-anak muda generasi ke2 yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk meningkatkan Ekonomi. Untuk makluman semua, kebanyakkan Belia di Jengka 13 ni tidak mempunyai kerja tetap dan hanya mengharapkan pendapatan dari hasil ladang sawit yang dikongsi adik beradik. Saya tidak menyalahkan mereka kenapa tidak mencari kerja yang boleh menjamin masa depan tetapi kebanyakan dari mereka terpaksa tinggal disini untuk menjaga orang tua yang sudah tidak berdaya. Kalau kita lihat di sekitar Jengka ini tidak begitu banyak peluang pekerjaan untuk menampung jumlah anak-anak Generasi ke2. Tidak banyak.

Thursday, April 26, 2012

Blue Form Saham FGVH untuk Peneroka Felda


Di Jengka sekarang cuaca amat panas bila tengahari. Bagi Peneroka Felda yang mampu memasang set penghawa dingin, sudah tentu ini bukan satu masalah cuma bila bil TNB sampai baru datang masalah. Musim panas begini memang syok kalau pekena ais kacang, ABC tak pun licikang. Tak hairan la di Tanah Rancangan Felda banyak terdapat warga Generasi ke2 merebut peluang berniaga ABC. Kadang-kadang terdapat 6 gerai ABC di satu Tanah Rancangan Felda. Tak pe, pandai rebut peluang.

Singgah di salah sebuah gerai ABC berdekatan rumah, seorang pakcik memberitahu bahawa dia mendengar berita yang diheboh-hebohkan, Peneroka akan menerima durian runtuh serta saham yang bernilai ribuan ringgit. Tentang durian runtuh tu tak tahu nak kata lah. Adakah sampai ribuan ringgit atau ratusan ringgit sahaja. Tunggu      YAB Perdana Menteri umumkan nanti. Hal satu lagi yang dikatakan Peneroka akan menerima saham ribuan ringgit itu mungkin ada benarnya. Ini kerana Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan pernah berkata di Dewan Rakyat bahawa Peneroka Felda akan menerima durian runtuh dan Saham dalam bentuk Blue Form sempena penyenaraian Felda Global Venture Holding FGVH June ini. 

Apa bendanya yang Blue Form ini? Ramai yang tak faham. Maklum lah ini istilah orang main saham. Kat sini saham K.T.M tahu lah. Beli singgit kalau kena no 1 dapat dua ribu setengah. Tu yang dipanggil "A ticket to hell" ye tak?. Saya pun tak faham sangat tentang main saham ini. Adalah dulu main saham sekali. Belipun tak banyak hanya 10 Lot saja tu pun buat loan dengan Maybank. Bila prestasi saham dah tak se gah masa mula diapungkan, saya dengan pantas menjual semua 10 lot tersebut. Adalah untung sikit buat belanja bertunang. Okay, Blue Form atau Borang Biru selalunya di beri kepada kakitangan sesebuah syarikat yang akan disenaraikan di Bursa Saham. Dengan penyenaraian FGVH, Felda akan memberi Peneroka saham secara Blue Form dan Staff Felda akan diberi saham dalam bentuk Pink Form. Bezanya ialah Blue Form diberi secara percuma,tidak perlu membayar untuk memiliki saham tersebut. Manakala Pink Form perlu membayar harga penuh mengikut nilai harga tawaran sesebuah saham. Bagi kakitangan Felda yang mempunyai banyak wang, saya nasihatkan belilah. Kalau tak mampu, buatlah loan di Bank bagi yang belum di Blacklist oleh mana-mana syarikat kewangan. Contohnya jika setiap seorang Peneroka menerima saham berjumlah 10 Lot yang ditawarkan dengan harga RM1.00 setiap unit saham, ini bermakna setiap seorang Peneroka Felda menerima RM10,000 dengan syarat mestilah membuka akaun CDS (Central Depository System) kalau tidak ianya tidak bernilai kerana tidak boleh dijual. CDS adalah tempat dimana kita akan menyimpan saham-saham ini. Cas perkhidmatan untuk membuka akaun CDS ni hanyalah RM10 sahaja. Moh buka akaun CDS cepat-cepat.

Wednesday, April 25, 2012

Durian runtuh FGVH-Rahmat untuk Peneroka Felda atau sebaliknya


Isu panas di merata kedai kopi di tanah rancangan Felda pada masa ini sudah tentulah mengenai "durian runtuh" untuk peneroka berikutan penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH) ke Bursa Saham. Lupakan dulu isu anak siapa yang lahirkan anak tidak berbapa, anak siapa yang dibelasah kerana mencuri buah sawit di ladang yang di selia oleh Felda Plantation, lembu dan kerbau siapa yang dilanggar oleh si fulan sampai pecah bumper keretanya. Lupakan dulu seketika. Sambung nanti selepas dapat durian runtuh dulu. Hal duit lagi manis untuk dibicarakan.

Ada pemimpin parti politik menyatakan bahawa itu adalah sebahagian dari gula-gula kerajaan kepada warga peneroka yang diketahui umum sebilangan besarnya adalah  penyokong kerajaan hari ini. Presiden PAS, Datuk Seri Abd Hadi Awang telah mengeluarkan fatwa bahawa  ‘durian runtuh’ yang bakal di terima peneroka Felda itu adalah rasuah politik, dengan niat agar peneroka mengundi Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya akan datang. Rujukan dari http://suarapakatanrakyat.com/2012/04/haram-hukumnya-ahli-pas-ambil-durian-runtuh-felda/ Tajuk artikel berkenaan ialah Haram hukumnya ahli PAS ambil durian runtuh Felda. 

Jika ditanya kepada ahli PAS di Tanah Rancangan Felda hari ini samada mahu menolak wang durian runtuh tersebut saya pasti tidak ramai yang menanggukkan kepala tanda setuju. Dalam blog tersebut tertulis "Jumlahnya mungkin mampu mengaburkan mata kerana nilai yang lebih besar, tapi disinilah keistimewaan ahli PAS, demi mempertahankan akidah dan agama Islam, kita seharusnya sanggup menolak semua kelebihan dunia, tidak kira apa nilainya."  Mungkin inilah masanya kita dapat melihat sejauh mana kekuatan ahli-ahli PAS di Tanah Rancangan Felda seluruh Malaysia samada menolak durian runtuh tersebut ataupun menolak impian diri yang berlegar di dalam kepala sejak berberapa bulan dahulu. Rasionalnya, wang dapat menjadikan sahabat yang sangat rapat menjadi musuh yang paling ketat, keluarga berpecah dan terbelah, suami isteri bercerai-berai dan taraf kehidupan berputar terbalik seperti roda.

Berbalik kisah di kedai kopi seluruh Tanah Rancangan Felda tadi, Peneroka rata-ratanya sudahpun memasang impian dengan harapan durian runtuh ini akan runtuh secepat yang boleh. Ada yang bercita-cita memperbaiki rumah, menukar kereta Proton Preve, membeli pam racun berinjin dan mesin rumput untuk kegunaan ladang, menunaikan umrah, melangsaikan hutang Plasma TV dari Courts Mammoth dan macam-macam lagi. 

Suka saya ingatkan kepada semua Ayahanda Peneroka bahawa usahlah berangan-angan tinggi lagi kerana jumlahnya yang sebenar tidak dapat diketahui dan entah bila akan diterima. PM pernah memberi hint bahawa jumlahnya lebih dari wang BR1M. Maknanya kemungkinan lebih dari RM500. Ya, saya tahu bahawa Perdana Menteri kita akan mengumumkan jumlahnya pada 8 Mei ini di Jengka 8 Pahang, tetapi bagi saya, lebih baik Ayahanda menunggu sahaja berapakah jumlah sebenarnya dan selepas itu barulah Ayananda semua membuat kira-kira dimana patut Ayahanda salurkan wang tersebut. Takut nanti jumlahnya tidak sama dengan apa yang Ayahanda bayangkan. 


Friday, August 19, 2011

Dialog Ajis dan Sudin


Gambar diatas di petik dari filem Allahyarham Tan Sri P.Ramlee bertajuk Seniman bujang lapok. Di bintangi oleh beliau sendiri, Aziz Satar (Ajis) dan S.Shamsudin (Sudin). Ayatnya sengaja ditukar memandangkan sekarang kita berada di musim perayaan. 

Di kawasan Felda kami ini, dah makin kerap bunyi mercun bola, mercun roket dan sebagainya. Walaupun usaha kerajaan membenteras habis-habisan penyeludup dan penjual mercun ini namun masih terdapat segelintir peniaga yang berani mengaut keuntungan tanpa memikirkan risiko akibat dari aktiviti penjualan mercun ini. Pada masa ini mereka yang memiliki barangan haram ini boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957 dengan membawa hukuman penjara maksimum 5 tahun atau denda RM10,000.00 atau kedua-duanya sekali. Ada berberapa pihak mendesak kerajaan supaya meminda akta ini kepada hukuman penjara madatori.

Semasa di zaman kanak-kanak, aku seperti kana-kanak lain suka bermain mercun. Namun ketika itu seingat-ingat aku, hanya ada bunga api, mercun katak, mercun roket dan lain-lain mercun yang tidak begitu berbahaya. Ketika itu tidak tercipta lagi mercun bola yang sangat popular sekarang sehinggakan meragut berberapa jari kanak-kanak melayu. Ya, melayu. Kenapa? Kerana bila tiba perayaan Tahun Baru Cina dan Depavalli, jarang tersiar di ruang media bahawa ada kanak-kanak berbangsa selain melayu terputus jari akibat mercun. Dalam budaya cina memang dari dahulu acara pembakaran mercun menjadi tradisi nenek moyang mereka. Teringat kata-kata seorang rakan berbangsa Cina, katanya kalau dibakar satu mercun, hantu yang datang ke kampung untuk membuat kacau bilau akan lari hingga ke tujuh buah bukit. Bayangkan seratus mercun papan kalau dibakar, berapa ratus bukit hantu melarikan diri. 

Ketika di zaman kanak-kanak dulu aku dan kawan kawan amat gemar bermain meriam tin melo (Milo). Kekuatan bunyinya hampir menyamai meriam buluh. Oleh kerana di Rancangan Tanah Felda ini amat kurang buluh bersaiz meriam maka tin melo dijadikan ganti. Apabila berhadapan dengan sesuatu yang merbahaya kami sangat menitikberatkan akan keselamatan diri, Tin melo akan di ikat kemas supaya tidak pecah. Jika pecah, risiko kecederaan serius amatlah tinggi. Selepas dipastikan ikatan tin melo kemas, tin tersebut akan di tanam menyenget sedalam satu kaki di dalam tanah. Dia atas tanah tersebut di tindih pula dengan batu-batu berat supaya tin tidak melompat mengenai angota badan kami. Apabila siap, meriam akan disikan dengan ketulan belerang karbait dan di curah sedikit air untuk mengeluarkan gas. Setelah gas mula memenuhi ruangan  tin melo tersebut, maka sumbu akan di cucuh dengan buluh panjang bernyalakan api. Sekiranya kita duduk berdekatan dengan meriam, kita tidak dapat merasa sangat dentuman meriam tersebut. Sebaliknya orang yang berada agak jauh akan merasa gegarannya. Dahulu bunyi meriam menunjukkan seolah-olah berlaku perperangan kerana kami saling berlawan bunyi dengan rakan-rakan di blok yang lain. Rancangan Tanah Felda dibahagikan kepada berberapa blok.

Ada sejenis permainan di musim perayaan dahulu akan aku ceritakan di entri yang akan datang.










Thursday, July 28, 2011

Kontraktor TNB musnahkan pokok buahan penduduk Felda?

Pernahkan anda terfikir, apa jadual harian kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) selain dari membaiki talian elektrik dan memotong bekalan jika anda lambat membuat pembayaran? Seikhlas hati saya katakan, tidak terfikir pun. Pagi ini saya mula terfikir, apakah lagi rutin harian mereka selain diatas tadi.

Sambil minum kopi dan membaca akhbar Utusan Malaysia dibawah pokok rambutan, datang berberapa orang berjaket keselamatan hijau membawa sebilah sabit kelapa sawit, masuk ke halaman rumah. Kata salah seorang dari mereka, TNB mengarahkan semua pokok-pokok yang bersangkutan dengan talian elektrik harus di cantas. Ini kerana jika dibiarkan akan mengakibatkan bekalan elektrik sering terganggu bila dahan pokok yang bersangkutan, ditiup angin. Patut laaaa...

Walaupun terpaksa mengorbankan berberapa biji rambutan muda, saya puji usaha kontraktor TNB ini kerana bersusah payah memotong dahan-dahan rambutan demi memastikan pengguna tidak mendapat gangguan bekalan elektrik. Anda perlu tahu, mencantas dahan rambutan dengan menggunakan sabit kelapa sawit amat memeritkan kerana, dahan rambutan jauh berbeza kerasnya dari dahan kelapa sawit. Syabas. Ohh!..rambutan ku..

Wednesday, January 19, 2011

Generasi Kedua Felda dapat 500 lot tanah - Siapa punya Idea?

Photo dari pkrpahangdm


Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Bin Tun Hj Abdul Razak telah memperuntukan sebanyak 500 lot tanah bagi mengatasi masalah perumahan Generasi Kedua Felda di Johor. Ini adalah sebahagian dari RM1.6 Billion yang telah diluluskan kerajaan kepada Felda yang dianggarkan berjumlah RM5.8 juta. Berita ini disambut gembira oleh ribuan anak generasi kedua Felda di Johor.

Pengumunan ini bukan sahaja disambut gembira oleh masyarakat Felda malah ada berberapa pihak yang mula memperkatakan bahawa ini adalah satu umpan kerajaan untuk rakyat sempena Pilihan Raya Kecil DUN Tenang. Ada juga pihak yang menyatakan ini adalah kejayaan hasil usaha gigih oleh Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (ANAK) yang dipimpin oleh Saudara Mazlan Aliman. Dalam Blog Tukul besi mengatakan PAS memanjat syukur kepada Allah kerana tuntutan untuk rakyat sudah di ambil berat oleh Datuk Seri Najib. Walaupun beliau mengumumkan sempena lawatan beliau ke Felda Chempelak dalam DUN Tenang. Apa yang pentingnya kerajaan sudah mula mengambil perhatian atas usaha gigih perjuangan ANAK selama ini.


Keputusan kerajaan mengambil berat masalah peneroka Felda kesan daripada kesedaran peneroka bahawa hak mereka selama ini dinafikan oleh kerajaan BN. Semuanya hasil perjuangan melalui wadah ANAK. PAS yakin keputusan ini dibuat terutama sambutan di kalangan masyarakat Felda amat menggalakkan, ditambah dengan janji 100 hari Pakatan Rakyat yang akan menghapuskan Felda Plantation

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers