Wednesday, April 25, 2012

Durian runtuh FGVH-Rahmat untuk Peneroka Felda atau sebaliknya


Isu panas di merata kedai kopi di tanah rancangan Felda pada masa ini sudah tentulah mengenai "durian runtuh" untuk peneroka berikutan penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH) ke Bursa Saham. Lupakan dulu isu anak siapa yang lahirkan anak tidak berbapa, anak siapa yang dibelasah kerana mencuri buah sawit di ladang yang di selia oleh Felda Plantation, lembu dan kerbau siapa yang dilanggar oleh si fulan sampai pecah bumper keretanya. Lupakan dulu seketika. Sambung nanti selepas dapat durian runtuh dulu. Hal duit lagi manis untuk dibicarakan.

Ada pemimpin parti politik menyatakan bahawa itu adalah sebahagian dari gula-gula kerajaan kepada warga peneroka yang diketahui umum sebilangan besarnya adalah  penyokong kerajaan hari ini. Presiden PAS, Datuk Seri Abd Hadi Awang telah mengeluarkan fatwa bahawa  ‘durian runtuh’ yang bakal di terima peneroka Felda itu adalah rasuah politik, dengan niat agar peneroka mengundi Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya akan datang. Rujukan dari http://suarapakatanrakyat.com/2012/04/haram-hukumnya-ahli-pas-ambil-durian-runtuh-felda/ Tajuk artikel berkenaan ialah Haram hukumnya ahli PAS ambil durian runtuh Felda. 

Jika ditanya kepada ahli PAS di Tanah Rancangan Felda hari ini samada mahu menolak wang durian runtuh tersebut saya pasti tidak ramai yang menanggukkan kepala tanda setuju. Dalam blog tersebut tertulis "Jumlahnya mungkin mampu mengaburkan mata kerana nilai yang lebih besar, tapi disinilah keistimewaan ahli PAS, demi mempertahankan akidah dan agama Islam, kita seharusnya sanggup menolak semua kelebihan dunia, tidak kira apa nilainya."  Mungkin inilah masanya kita dapat melihat sejauh mana kekuatan ahli-ahli PAS di Tanah Rancangan Felda seluruh Malaysia samada menolak durian runtuh tersebut ataupun menolak impian diri yang berlegar di dalam kepala sejak berberapa bulan dahulu. Rasionalnya, wang dapat menjadikan sahabat yang sangat rapat menjadi musuh yang paling ketat, keluarga berpecah dan terbelah, suami isteri bercerai-berai dan taraf kehidupan berputar terbalik seperti roda.

Berbalik kisah di kedai kopi seluruh Tanah Rancangan Felda tadi, Peneroka rata-ratanya sudahpun memasang impian dengan harapan durian runtuh ini akan runtuh secepat yang boleh. Ada yang bercita-cita memperbaiki rumah, menukar kereta Proton Preve, membeli pam racun berinjin dan mesin rumput untuk kegunaan ladang, menunaikan umrah, melangsaikan hutang Plasma TV dari Courts Mammoth dan macam-macam lagi. 

Suka saya ingatkan kepada semua Ayahanda Peneroka bahawa usahlah berangan-angan tinggi lagi kerana jumlahnya yang sebenar tidak dapat diketahui dan entah bila akan diterima. PM pernah memberi hint bahawa jumlahnya lebih dari wang BR1M. Maknanya kemungkinan lebih dari RM500. Ya, saya tahu bahawa Perdana Menteri kita akan mengumumkan jumlahnya pada 8 Mei ini di Jengka 8 Pahang, tetapi bagi saya, lebih baik Ayahanda menunggu sahaja berapakah jumlah sebenarnya dan selepas itu barulah Ayananda semua membuat kira-kira dimana patut Ayahanda salurkan wang tersebut. Takut nanti jumlahnya tidak sama dengan apa yang Ayahanda bayangkan. 


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers