Wednesday, July 25, 2012

Lemang Ramadhan-penyediaan membuat lemang

"Hai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang mulia, bulan rahmat... dimana bulan ini mewajibkan kamu berpuasa di siang hari dan sukarela bersolat pada malamnya. Barangsiapa yang mendekati Allah dengan melakukan segala amalan sunat di bulan ini akan menerima ganjaran seperti melakukan amalan wajib di lain hari. Ini merupakan bulan kesabaran dan kesabaran itu imbuhannya syurga. Ini juga bulan sedekah dan bulan dimana rezeki orang beriman bertambah..." (Diriwayatkan Ibn Khuzaymah).

Ramadhan datang lagi. Alhamdulillah kita masih dipanjangkan umur olehNya untuk merasai nikmat bulan yang penuh berkat ini. Kepada umat Islam yang tahu akan kelebihan bulan yang mulia ini pastinya menunggu-nunggu kedatangan Ramadhan dan bagi mereka yang masih alpa, ia hanyalah satu rutin biasa yang perlu ditempuh setiap tahun.

Ramadhan kali ini seperti tahun sebelumnya aku mencari rezeki dengan meniaga lemang. Pada asalnya tahun ini aku tidak mahu lagi meniaga lemang. Seorang sahabat yang juga rakan kongsi niaga mengesyorkan kami meniaga cempedak goreng. Namun atas sebab ketiadaan bekalan, kami terpaksa meneruskan dengan plan B iaitu Lemang. Pada sesetengah orang lemang hanya dimakan pada Hari Raya sahaja. Ya, tapi itu dulu. Kini lemang tidak lagi menjadi makanan esklusif di Hari Raya sahaja. Ia boleh didapati dimana-mana sahaja. Di Temerloh ini kalau anda rajin menoleh ke kiri dan kanan jalan terdapat berberapa gerai yang menjual lemang. Dari Kuala Lumpur menghala ke Pantai Timur pun anda boleh lihat gerai lemang. Nasib lemang sekarang sama seperti Maruku yang pada masa dahulunya kita hanya boleh makan di hari Depavalli.

Meniaga lemang memang menguntungkan. Namun proses pembuatannya amat rumit. Yang paling leceh sekali ialah untuk menyediakan buluh. Andai ada yang offer buluh lemang untuk dijual, mahu saja aku beli tapi penjual buluh lemang hanya akan beroperasi pada hari-hari terakhir puasa. Selepas buluh siap dipotong dan dibersihkan, mulalah kerja-kerja yang mudah namun rumit seperti menyiapkan santan dan proses membakar.

Proses penyediaan lemang

6.00 pagi- rendam beras pulut
8.00 pagi- Tebang buluh dan potong serta cuci
9.00 pagi- mencari daun pisang / daun lerek
10.00 pagi-kupas kelapa, parut dan perah santan
11.00 pagi-mengisi daun pisang / lerek dan masukkan beras pulut yang sudah di toskan airnya
12.00 tengahari-Membakar
1.00 petang-menyediakan rendang ayam / daging.
3.00 petang-lemang dan rendang yang sudah dimasak akan dibawa ke pasar Ramadhan

Alhamdulillah semenjak puasa yang pertama lagi lemang kami laris. Jadi untuk jualan esoknya kami perlu menjalani rutin seperti biasa yang ditunjukkan diatas. 





Wednesday, July 11, 2012

Isteri mangsa fanatik politik


Pagi ni akhbar kosmo memetik pasangan warga emas bercerai gara-gara tidak sehaluan dalam politik. Saya sangat sedih kerana kes sebegini masih berlaku dalam masyarakat kita. Jangan lah kita terlampau taksub akan politik dunia jika kita sekadar pengikut atau orang biasa sahaja dalam parti. Bertekak sampai tegang urat leher dikedai kopi, akhirnya apa yang kita dapat. Hanyalah sehelai baju leher bulat dan topi. Tak kemana pun kita. Hilang isteri, hilang suami, hilang saudara mara dan kawan-kawan. Tak berbaloi..

Saya berharap sangatlah agar masyarakat di kampung saya jadikan ini sebagai tauladan. Jangan pula ada warga emas di kampung saya bercerai kerana seorang warna biru dan seorang lagi warna hijau..Kedua-dua warna tu penting kalau tak pelangi tak seindah itu...


Wednesday, July 4, 2012

Kerja baru

Lama benar rasanya tak jenguk blog ni. Andai la ianya sebidang tanah, mungkin sudah ditumbuhi lalang atau pokok balek angin. Andai ia sebuah rumah, sudah tentu ada yang masuk tumpang tidur! Ha, Jinn atau manusia di alam khayalan. Yang mana satu?..

Semenjak-dua menjak ni saya begitu sibuk dengan urusan kerja. Tambahan pulak sekarang ni diberi tugas untuk menulis draf perlembagaan Pertubuhan yang akan di tubuhkan di Jengka 13 ini. Pertubuhan ini ditubuhkan bertujuan untuk mengumpul Anak-anak muda Generasi ke 2 Felda di Jengka 13 ini yang mempunyai cita-cita untuk melihat pembangunan di kampung sendiri. Sebelum ini Persatuan yang ada di sini hanyalah Pertubuhan Belia yang bernaung dibawah Majlis Belia Felda. Namun tidak banyak usaha yang dilakukan oleh Pertubuhan ini disebabkan oleh perkara-perkara yang tertentu. Saya tidak mahu menyentuh lebih lanjut apa permasalahan Persatuan Belia di sini. Biarlah Pengerusi dan SU Belia serta AJK mereka mengatasinya.

Apabila tertubuhnya Pertubuhan ini dapatah kiranya kami membawa masuk peluang-peluang yang telah disediakan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri ataupun dari Agensi-agensi lain bagi membimbing atau memberi peluang kepada anak-anak muda generasi ke2 yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk meningkatkan Ekonomi. Untuk makluman semua, kebanyakkan Belia di Jengka 13 ni tidak mempunyai kerja tetap dan hanya mengharapkan pendapatan dari hasil ladang sawit yang dikongsi adik beradik. Saya tidak menyalahkan mereka kenapa tidak mencari kerja yang boleh menjamin masa depan tetapi kebanyakan dari mereka terpaksa tinggal disini untuk menjaga orang tua yang sudah tidak berdaya. Kalau kita lihat di sekitar Jengka ini tidak begitu banyak peluang pekerjaan untuk menampung jumlah anak-anak Generasi ke2. Tidak banyak.

Thursday, April 26, 2012

Blue Form Saham FGVH untuk Peneroka Felda


Di Jengka sekarang cuaca amat panas bila tengahari. Bagi Peneroka Felda yang mampu memasang set penghawa dingin, sudah tentu ini bukan satu masalah cuma bila bil TNB sampai baru datang masalah. Musim panas begini memang syok kalau pekena ais kacang, ABC tak pun licikang. Tak hairan la di Tanah Rancangan Felda banyak terdapat warga Generasi ke2 merebut peluang berniaga ABC. Kadang-kadang terdapat 6 gerai ABC di satu Tanah Rancangan Felda. Tak pe, pandai rebut peluang.

Singgah di salah sebuah gerai ABC berdekatan rumah, seorang pakcik memberitahu bahawa dia mendengar berita yang diheboh-hebohkan, Peneroka akan menerima durian runtuh serta saham yang bernilai ribuan ringgit. Tentang durian runtuh tu tak tahu nak kata lah. Adakah sampai ribuan ringgit atau ratusan ringgit sahaja. Tunggu      YAB Perdana Menteri umumkan nanti. Hal satu lagi yang dikatakan Peneroka akan menerima saham ribuan ringgit itu mungkin ada benarnya. Ini kerana Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan pernah berkata di Dewan Rakyat bahawa Peneroka Felda akan menerima durian runtuh dan Saham dalam bentuk Blue Form sempena penyenaraian Felda Global Venture Holding FGVH June ini. 

Apa bendanya yang Blue Form ini? Ramai yang tak faham. Maklum lah ini istilah orang main saham. Kat sini saham K.T.M tahu lah. Beli singgit kalau kena no 1 dapat dua ribu setengah. Tu yang dipanggil "A ticket to hell" ye tak?. Saya pun tak faham sangat tentang main saham ini. Adalah dulu main saham sekali. Belipun tak banyak hanya 10 Lot saja tu pun buat loan dengan Maybank. Bila prestasi saham dah tak se gah masa mula diapungkan, saya dengan pantas menjual semua 10 lot tersebut. Adalah untung sikit buat belanja bertunang. Okay, Blue Form atau Borang Biru selalunya di beri kepada kakitangan sesebuah syarikat yang akan disenaraikan di Bursa Saham. Dengan penyenaraian FGVH, Felda akan memberi Peneroka saham secara Blue Form dan Staff Felda akan diberi saham dalam bentuk Pink Form. Bezanya ialah Blue Form diberi secara percuma,tidak perlu membayar untuk memiliki saham tersebut. Manakala Pink Form perlu membayar harga penuh mengikut nilai harga tawaran sesebuah saham. Bagi kakitangan Felda yang mempunyai banyak wang, saya nasihatkan belilah. Kalau tak mampu, buatlah loan di Bank bagi yang belum di Blacklist oleh mana-mana syarikat kewangan. Contohnya jika setiap seorang Peneroka menerima saham berjumlah 10 Lot yang ditawarkan dengan harga RM1.00 setiap unit saham, ini bermakna setiap seorang Peneroka Felda menerima RM10,000 dengan syarat mestilah membuka akaun CDS (Central Depository System) kalau tidak ianya tidak bernilai kerana tidak boleh dijual. CDS adalah tempat dimana kita akan menyimpan saham-saham ini. Cas perkhidmatan untuk membuka akaun CDS ni hanyalah RM10 sahaja. Moh buka akaun CDS cepat-cepat.

Wednesday, April 25, 2012

Durian runtuh FGVH-Rahmat untuk Peneroka Felda atau sebaliknya


Isu panas di merata kedai kopi di tanah rancangan Felda pada masa ini sudah tentulah mengenai "durian runtuh" untuk peneroka berikutan penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH) ke Bursa Saham. Lupakan dulu isu anak siapa yang lahirkan anak tidak berbapa, anak siapa yang dibelasah kerana mencuri buah sawit di ladang yang di selia oleh Felda Plantation, lembu dan kerbau siapa yang dilanggar oleh si fulan sampai pecah bumper keretanya. Lupakan dulu seketika. Sambung nanti selepas dapat durian runtuh dulu. Hal duit lagi manis untuk dibicarakan.

Ada pemimpin parti politik menyatakan bahawa itu adalah sebahagian dari gula-gula kerajaan kepada warga peneroka yang diketahui umum sebilangan besarnya adalah  penyokong kerajaan hari ini. Presiden PAS, Datuk Seri Abd Hadi Awang telah mengeluarkan fatwa bahawa  ‘durian runtuh’ yang bakal di terima peneroka Felda itu adalah rasuah politik, dengan niat agar peneroka mengundi Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya akan datang. Rujukan dari http://suarapakatanrakyat.com/2012/04/haram-hukumnya-ahli-pas-ambil-durian-runtuh-felda/ Tajuk artikel berkenaan ialah Haram hukumnya ahli PAS ambil durian runtuh Felda. 

Jika ditanya kepada ahli PAS di Tanah Rancangan Felda hari ini samada mahu menolak wang durian runtuh tersebut saya pasti tidak ramai yang menanggukkan kepala tanda setuju. Dalam blog tersebut tertulis "Jumlahnya mungkin mampu mengaburkan mata kerana nilai yang lebih besar, tapi disinilah keistimewaan ahli PAS, demi mempertahankan akidah dan agama Islam, kita seharusnya sanggup menolak semua kelebihan dunia, tidak kira apa nilainya."  Mungkin inilah masanya kita dapat melihat sejauh mana kekuatan ahli-ahli PAS di Tanah Rancangan Felda seluruh Malaysia samada menolak durian runtuh tersebut ataupun menolak impian diri yang berlegar di dalam kepala sejak berberapa bulan dahulu. Rasionalnya, wang dapat menjadikan sahabat yang sangat rapat menjadi musuh yang paling ketat, keluarga berpecah dan terbelah, suami isteri bercerai-berai dan taraf kehidupan berputar terbalik seperti roda.

Berbalik kisah di kedai kopi seluruh Tanah Rancangan Felda tadi, Peneroka rata-ratanya sudahpun memasang impian dengan harapan durian runtuh ini akan runtuh secepat yang boleh. Ada yang bercita-cita memperbaiki rumah, menukar kereta Proton Preve, membeli pam racun berinjin dan mesin rumput untuk kegunaan ladang, menunaikan umrah, melangsaikan hutang Plasma TV dari Courts Mammoth dan macam-macam lagi. 

Suka saya ingatkan kepada semua Ayahanda Peneroka bahawa usahlah berangan-angan tinggi lagi kerana jumlahnya yang sebenar tidak dapat diketahui dan entah bila akan diterima. PM pernah memberi hint bahawa jumlahnya lebih dari wang BR1M. Maknanya kemungkinan lebih dari RM500. Ya, saya tahu bahawa Perdana Menteri kita akan mengumumkan jumlahnya pada 8 Mei ini di Jengka 8 Pahang, tetapi bagi saya, lebih baik Ayahanda menunggu sahaja berapakah jumlah sebenarnya dan selepas itu barulah Ayananda semua membuat kira-kira dimana patut Ayahanda salurkan wang tersebut. Takut nanti jumlahnya tidak sama dengan apa yang Ayahanda bayangkan. 


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers